Zuraida sedia hadapi siasatan SPRM

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersedia untuk berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dua projek rundingan terus yang melibatkan kementeriannya.

Zuraida berkata, beliau sedia bekerjasama dan sudah mengumpul semua maklumat dan surat berkaitan projek berkenaan untuk diserahkan kepada SPRM, jika dipanggil bagi siasatan.

“Surat itu ada dalam fail kami. Sekiranya ada siasatan lanjut oleh SPRM atau yang lain, saya akan berikan dokumen-dokumen tersebut.

“Saya telah kumpulkan kedua-dua fail, satu untuk Taman Beringin dan satu untuk Century (Sistem perakaunan perisian) dan saya sudah bersedia,” katanya pada sidang akhbar majlis perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Bomba dan Penyelamat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mencabar Zuraida mendedahkan surat dari Ketua Setiausahanya (KSU) kepada Kementerian Kewangan mengenai projek sisa pepejal bernilai RM170.3 juta.

Minggu lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek yang menurutnya dirundingkan secara langsung di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Senarai itu turut mendedahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menganugerahkan dua projek-projek sisa pepejal bernilai RM170.3 juta di Taman Beringin, Kepong dan sistem perisian perakaunan bernilai RM501,000.

Bagaimanapun, Zuraida mengesahkan bahawa rundingan terus tersebut dijalankan oleh Guan Eng sendiri. – K! ONLINE

The post Zuraida sedia hadapi siasatan SPRM appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *