Warga emas selamat, 72 jam tertumus dalam lumpur

KLUANG – Seorang wanita warga emas terperangkap di dalam lumpur selama 72 jam sebelum dia diselamatkan di sebuah tapak projek perumahan di Taman Kluang Barat di sini semalam.

Mangsa, Low Chon Tai, 87, dtemui oleh pekerja buruh dalam keadaan tertumus di tapak pembinaan tersebut pada pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, kehilangan warga emas itu dilaporkan oleh anaknya selepas dia tidak pulang ke rumah pada Ahad lalu.

Mangsa dikatakan keluar bersendirian dari rumahnya pada pukul 4 petang untuk mengutip tin dan botol minuman kosong.

“Mangsa sepatutnya pulang pada pukul 7 malam atau 8 malam (hari sama). Sebaik menyedari ibunya tiada di rumah, anak wanita itu yang berusia 66 tahun membuat laporan polis.

“Dua anak mangsa cuba mencari wanita itu di kawasan sekitar tetapi tidak menjumpainya. Mereka yang bimbang kemudian membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd. Abduh berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya membuat pencarian di kawasan rumah mangsa dan sekitar taman perumahan, kolam renang dan rumah kedai berdekatan.

“Pada 11.30 pagi (semalam), pekerja tapak projek perumahan di kawasan tersebut ternampak seorang wanita dalam keadaan terbaring di kawasan longgokan tanah liat.

“Wanita itu kelihatan tidak bermaya dan diselamatkan oleh pekerja tapak pembinaan sebelum menghubungi pihak ambulan,” katanya.

Katanya, anak-anak mangsa mengesahkan wanita itu adalah ibu mereka.

“Siasatan di tempat kejadian menemui satu bungkusan beg plastik mengandungi tin kosong dan botol minuman plastik. Turut ditemui beg duit mangsa,” katanya.

Jelasnya, tiada unsur jenayah dalam kes itu dan mangsa dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan. – K! ONLINE

The post Warga emas selamat, 72 jam tertumus dalam lumpur appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *