Warga Bangladesh bunuh bapa saudara kerana tidak tahan dibuli

SEBERANG PERAI – Tidak tahan dibuli dikatakan menjadi punca seorang lelaki warga Bangladesh bertindak di luar kawalan apabila membunuh bapa saudaranya dalam kejadian di sebuah kilang di Taman Perindustrian Beringin Juru, Bukit Mertajam di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa bukan sahaja didakwa membuli suspek berusia 21 tahun itu, malah kerap memukulnya.

“Suspek mendakwa dia tidak tahan dengan sikap bapa saudaranya itu yang selalu membulinya selain sering marah-marah dan memukulnya jika tidak berpuas hati.

“Sebelum kejadian itu, mereka berdua dipercayai bertengkar sehingga suspek memukul mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira tiga minggu lalu apabila mangsa dikatakan hilang sejak 15 Januari lalu.

“Suspek menyorokkan mayat mangsa di bawah penutup longkang bagi mengelak diketahui orang lain dan dia pergi bekerja seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kosmo! Online Jumaat lalu melaporkan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh ditemui mati dalam keadaan sudah berulat di sebuah kilang pakaian di Taman Perindustrian Beringin, Juru, Bukit Mertajam di sini disyaki akibat dibunuh rakan senegaranya.

Mayat mangsa, Mohammad Rajib Mia, 29, ditemui oleh pekerja syarikat terbabit di dalam longkang di kawasan kilang kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Polis menemui sebilah pisau, tukul besi dan batang besi di kawasan kejadian selain menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 21 tahun disyaki terlibat dalam kes itu. – K! ONLINE

The post Warga Bangladesh bunuh bapa saudara kerana tidak tahan dibuli appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *