Wanita nyaris maut ditimpa besi menara kren

PETALING JAYA – Seorang pemandu berdepan detik cemas selepas besi menara kren terjatuh dari sebuah treler menghempap keretanya dalam kejadian di Jalan SS2/24 di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, wanita berusia 25 tahun bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada bahagian hadapan treler itu yang tersangkut pada kabel telefon Telekom Malaysia.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dua tiang telefon di lokasi tumbang dan kabel telefon tergantung merentangi jalan.

“Akibat kejadian itu, muatan besi menara kren yang dibawa treler terbabit terjatuh sebelum menimpa bahagian atas kereta jenis Perodua Myvi mangsa.

“Kereta mangsa mengalami kerosakan secara keseluruhan susulan ditimpa benda berat itu” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan lalu lintas yang sesak akibat kejadian tersebut.

“Kita telah beri bantuan awal kepada mangsa sebelum dia membuat laporan polis, manakala pemandu treler belum lagi tampil membuat laporan.

“Kertas siasatan sudah dibuka bawah Peraturan 19 (Kaedah Lalu Lintas) LN 166/59 iaitu muatan yang dibawa atas kenderaan jatuh dan mengakibatkan kemalangan,” ujarnya. – K! ONLINE

The post Wanita nyaris maut ditimpa besi menara kren appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *