Usahawan wanita matang mengurus perniagaan

BEAUFORT – Bilangan wanita yang semakin ramai dalam bidang keusahawanan membuktikan kematangan mereka dalam menguruskan perniagaan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada peningkatan usahawan wanita, antaranya pendedahan mengenai bidang perniagaan serta bimbingan diterima.

“Ia menjadikan mereka lebih peka kepada kehendak pasaran, seterusnya berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan dengan menggunakan kelebihan di landasan yang disediakan. 

“Selain itu, kemudahan pinjaman ditawarkan pelbagai organisasi bagi membantu menyediakan modal permulaan perniagaan juga merupakan faktor pendorong kepada wanita menceburi bidang tersebut,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bangkit Kembali Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Dewan Terbuka Koundo, Kampung Kebatu di sini.

Turut hadir Pengerusi AIM, Datuk Junaidah Kiting; Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu, Datuk Lajim Ukin dan calon Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Klias, Isnin Aliasnih.

Sementara itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kemudahan seperti latihan dan khidmat nasihat yang disediakan juga membolehkan usahawan wanita memperluaskan pasaran perniagaan mereka ke peringkat lebih jauh. 

“Bahkan, dengan adanya perkembangan teknologi, wanita kini boleh memulakan perniagaan online yang memudahkan mereka mendekati pelanggan.

“Usahawan wanita juga bebas berniaga mengikut cara sendiri tanpa memerlukan mereka meninggalkan rumah untuk mengurus perniagaan,” katanya. 

Tambahnya, beliau bercadang untuk menjalinkan kerjasama dengan AIM bagi membantu meningkatkan keupayaan peniaga dari industri kecil dan sederhana. -K! ONLINE

The post Usahawan wanita matang mengurus perniagaan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *