United gagal kalau tidak berbelanja

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tiada pilihan selain berbelanja menguatkan pasukannya jika mahu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk saingan baharu musim 2020/2021.

Walaupun berjaya menamatkan EPL pada tempat ketiga musim lalu tetapi United masih lagi dilihat tidak mampu mencabar gelaran selepas ketinggalan 30 mata di belakang juara bertahan, Liverpool.

The Red Devils juga tidak mempunyai pemain yang konsisten dan mampu bersaing secara kompetitif menyebabkan Solskjaer, 47, terpaksa berulang kali mengguna pakai kesebelasan sama sewaktu bersaing dalam Liga Europa baru-baru ini.

Jadual saingan EPL musim depan yang dikeluarkan semalam juga seakan-akan tidak memihak kepada United walaupun aksi pembuka tirai menentang Burnley ditangguhkan bagi memberi lebih banyak masa rehat kepada pasukan itu.

Ini kerana selepas bertemu Crystal Palace (19 September) dan Brighton pada 26 September, United akan menanti kunjungan Tottenham Hotspur, Chelsea dan juara Piala FA, Arsenal di Old Trafford sepanjang bulan Oktober nanti.

Jika The Red Devils gagal mencatat keputusan positif dalam lapan perlawanan pertama EPL termasuk aksi menentang Newcastle United, Everton dan West Bromwich Albion, maka peluang anak-anak buah Solskjaer mencabar kejuaraan liga dilihat lebih sukar.

United pula bakal menghadapi derbi setempat menentang Manchester City pada 12 Disember sebelum bertandang ke laman musuh tradisi mereka, Anfield berdepan Liverpool pada 16 Januari tahun depan.

Bekas juara liga 20 kali itu ada peluang mencabar gergasi-gergasi EPL lain jika membeli beberapa pemain baharu seperti bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho dan ‘arkitek’ bahagian tengah Aston Villa, Jack Grealish. – K! ONLINE

The post United gagal kalau tidak berbelanja appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *