Ugut bunuh kerana tidak dapat pinjam motosikal

GOMBAK – Hanya kerana tidak membenarkan motosikalnya dipinjam, seorang wanita diugut bunuh oleh adik tirinya sendiri dalam satu kejadian di Taman Sri Gombak pada 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila suspek berusia 34 tahun mahu meminjam motosikal milik wanita tersebut.

“Mangsa bagaimanapun enggan membenarkan motosikalnya dipinjam oleh suspek mengakibatkan lelaki itu berang dan mengugut untuk membunuh kakak tirinya itu.

“Keesokan harinya, mangsa mendapati meja, kerusi serta sinki di rumahnya telah dipecahkan dipercayai oleh suspek dan kerana bimbangkan keselamatan diri, mangsa yang berusia 39 tahun seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Gombak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arifai, susulan laporan yang diterima, pihak polis seterusnya melakukan satu serbuan di rumah berkenaan pada pukul 12.15 tengah malam dan berjaya menangkap suspek.

“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes jenayah serta penyalahgunaan dadah.

“Suspek seterusnya dibawa ke Balai Polis Gombak untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” tegas beliau. – K! ONLINE

The post Ugut bunuh kerana tidak dapat pinjam motosikal appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *