Tujuh lori kemalangan, dua pemandu cedera

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

PASIR GUDANG – Kegagalan seorang pemandu lori menghentikan kenderaannya di lampu isyarat sehingga melanggar enam buah lori lain di Jalan Pekeliling di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah berkata, dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu dua pemandu lori cedera.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika hujan baharu reda.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku apabila sebuah lori membawa muatan pasir gagal memberhentikan kenderaannya ketika lampu isyarat bertukar merah.

“Akibatnya, lori berkenaan merempuh lori dihadapannya sebelum berlaku kemalangan melibatkan keseluruhan tujuh lori yang sedang berhenti di lampu isyarat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ismail, akibat kejadian itu, dua pemandu mengalami kecederaan manakala lima pemandu lain selamat.

“Sehubungan itu polis menasihati pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati semasa memandu selepas hujan dan jaga jarak antara kenderaan,” ujarnya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Sek 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

The post Tujuh lori kemalangan, dua pemandu cedera appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *