Trafik penumpang udara naik tiga kali ganda

KUALA LUMPUR – Jumlah trafik penumpang udara di negara ini telah meningkat lebih tiga kali ganda kepada 1.3 juta penumpang pada Julai lalu berbanding Jun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, peningkatan ini mencerminkan keyakinan orang awam untuk kembali melakukan perjalanan udara dalam negara.

Menurutnya, jumlah pergerakan pesawat turut meningkat dua kali ganda kepada 22,600 disebabkan perjalanan domestik oleh warga tempatan.

Jelasnya, pertumbuhan trafik turut menjadi indikator kepada keyakinan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa untuk meningkatkan perkhidmatan penerbangan terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pada masa ini terdapat 27 syarikat penerbangan yang mengendalikan laluan penerbangan global ke 30 bandar di 20 buah negara dari Malaysia, dengan 14 daripadanya melakukan sekurang-kurangnya satu penerbangan mingguan.

“Operasi dan laluan aktif ini diterjemahkan kepada 149 penerbangan mingguan di KLIA, pergerakan pesawat yang lebih tinggi juga disumbang peningkatan kapasiti kargo yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Mohd. Shukrie menjelaskan, perkembangan positif itu telah mengukuhkan keyakinan pihaknya bahawa industri perjalanan udara secara beransur-ansur akan kembali normal.

“Selain syarikat penerbangan yang sedang beroperasi dari KLIA ketika ini, lebih daripada 30 syarikat penerbangan asing lain telah menyatakan bahawa mereka akan beroperasi semula setelah sempadan dibuka sepenuhnya.

“Malah, Turkish Airlines baru-baru ini telah kembali beroperasi di KLIA pada 18 Julai dengan pesawat baharu mereka, Dreamliner B787-9,” katanya.

Menurut Shukrie, pengumuman pemulihan penuh landasan ketiga di KLIA adalah manifestasi komitmen Malaysia Airports untuk tidak berkompromi dalam soal keselamatan dan pihaknya akan terus melabur untuk meningkatkan keselamatan penumpang.

“Langkah terbaharu kami ialah memasang penyahkuman ultra ungu di tempat pemegang eskalator dan alat pejalan kaki yang diharapkan dapat menghilangkan 99.9 peratus mikro-organisma yang tidak diingini,” katanya.

The post Trafik penumpang udara naik tiga kali ganda appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *