TNB mahu bertemu pemilik premis ikan hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengadakan pertemuan bersama seorang peniaga ikan hiasan esok susulan laporan polis berkenaan premisnya yang dipotong bekalan elektrik semalam.

TNB melalui satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, pihaknya kesal atas kesulitan dan kerugian yang dialami pengguna tersebut.

“Pegawai Khidmat Pelanggan TNB akan bertemu pengguna esok untuk menyelesaikan pemasalahan yang terjadi.

“Kami merujuk kepada laporan Kosmo! berkaitan laporan polis oleh seorang peniaga ikan hiasan mengenai kesilapan pemotongan bekalan elektrik semasa operasi mengekang aktiviti perjudian yang dijalankan dengan kerjasama Polis Daerah Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan TNB semalam,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan tentang seorang peniaga kedai ikan hiasan yang mendakwa dia terpaksa menanggung kerugian selepas bekalan elektrik premisnya di PJS 2B/3, Kampung Medan di sini dipotong pihak berkuasa semalam.

Menerusi hantaran Facebook milik Natasha Ramanov, dia mendakwa menyedari premisnya tiada bekalan elektrik pada pukul 12.30 tengah hari sehingga menyebabkan ikan hiasan miliknya mati sekali gus terpaksa menanggung kerugian akibat kejadian tersebut. – K! ONLINE

The post TNB mahu bertemu pemilik premis ikan hiasan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *