Tinggal 20 kotak arak tepi jalan

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

ISKANDAR PUTERI – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya merampas 20 kotak berisi minuman keras tidak bercukai di dalam sebuah kenderaan ditinggalkan di Jalan Forest City, Lebuhraya Tanjung Pelepas, dekat sini petang semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, minuman keras dirampas bernilai RM33,813 termasuk cukai.

Katanya, pihaknya membuat rampasan itu setelah menerima maklumat orang awam berkenaan aktiviti penyeludupan minuman keras pada pukul 1 petang.

“Selepas membuat pemantauan selama dua jam ke atas sebuah kenderaan yang ditinggalkan, keputusan dibuat untuk menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan itu.

“Pemeriksaan kemudian mendapati 20 buah kotak besar berisi minuman keras tidak bercukai dengan nilai keseluruhan berjumlah RM33,813,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini hari ini.

Muhd. Zailani turut memberitahu, pihaknya percaya kenderaan itu telah ditinggalkan penjenayah terlibat kerana menyedari kehadiran pihak berkuasa di kawasan berhampiran.

“Kesemua barang rampasan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan termasuk cukai beserta kenderaan dianggarkan berjumlah RM 53,813.70 manakala kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d), Akta Kastam 1967,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya turut menyeru masyarakat membenteras kegiatan penyeludupan serta jenayah maritim dengan menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah Dua melalui talian 07-2372221 atau 07-237222. -K! ONLINE

The post Tinggal 20 kotak arak tepi jalan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *