Tiga maut nahas depan surau

NOR AINNA HAMZAH

SEREMBAN – Tiga maut termasuk seorang pejalan kaki yang mahu menunaikan solat Subuh dalam kejadian di Jalan Mambau-Port Dickson berhadapan Surau Al-Muqarrabin, Kampung Mambau, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, mangsa iaitu pejalan kaki, Noraniza Mohamed Amin, 42, serta sepasang suami isteri yang menaiki motosikal iaitu penunggang, K. Thamotharan, 44, dan pembonceng, S. Ramadevi, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Myvi serta motosikal jenis Demak dan juga seorang perjalanan kaki yang dalam perjalanan ke surau berdekatan rumah.

“Berdasarkan siasatan awal, penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Taman Kelab Tuanku Seremban menuju ke arah Hospital Seremban.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 61 tahun telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita hari ini.

Mohd. Said berkata, selepas rempuhan berkenaan, kereta berkenaan telah berpusing lalu melanggar seorang pejalan kaki.

“Akibat kemalangan, tiga mangsa iaitu pejalan kaki, penunggang dan pembonceng motorsikal telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan telah dibawa ke unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban bagi tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Sek 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. K! Online

The post Tiga maut nahas depan surau appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *