Tiada permit, lelaki warga asing ditahan bersama 25 gelen petrol

Pasukan Polis Marin Semporna berjaya menahan seorang lelaki warga asing beserta 25 gelen minyak petrol yang tidak mempunyai lesen atau permit yang sah.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna Deputi Superitendan Mohammad Ismail berkata, penahanan itu dilakukan dalam satu operasi di kawasan Jalan Kampung Perigi Semporna, pada 10 pagi semalam.

Dalam operasi itu, anggota PPM menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback dan pemeriksaan mendapati terdapat 25 gelen berisi minyak petrol dalam kenderaan tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan itu gagal mengemukakan lesen atau permit yang sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berusia 23 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Untuk itu, tangkapan dan barang rampasan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya. Kesalahan yang dilakukan adalah dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Petrol yang dirampas akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.

Justeru itu, PPM sentiasa menggalakan masyarakat pesisir pantai untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi WhatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal. – Borneo Today

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *