Tiada kejadian culik berlaku di Kampung Warisan

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji menafikan wujudnya kejadian culik dilaporkan berlaku di Kampung Warisan, Inanam seperti tular di media sosial sejak semalam.

Habibi menyatakan kejadian tular berkenaan sebaliknya hanya salah faham berpunca daripada dua beradik berusia sembilan dan 14 tahun yang berjalan kaki di jalan raya sekitar pukul 6.30 petang.

“Sebuah van berwarna putih yang melalui jalan berkenaan dikatakan berhenti sebelum menegur dua kanak-kanak terbabit kerana menghalang laluan jalan selain mengarahkan mereka segera pulang ke rumah. Bagaimanapun, kanak-kanak perempuan yang berusia 14 tahun kemudiannya terus berlari ke rumah dan memberitahu ahli keluarga bahawa adiknya cuba diculik.

Keluarga kanak-kanak terbabit yang panik terus keluar dari rumah untuk memeriksa keadaan itu. Namun mereka mendapati kanak-kanak berkenaan tetap di lokasi itu manakala van putih berkenaan pula sudah tiada di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Habibi berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kanak-kanak terbabit juga berada dalam keadaan selamat.

Dalam pada itu, Habibi menasihati orang awam agar sentiasa memeriksa kebenaran setiap kejadian yang berlaku sebelum menularkan sesuatu berita atau kenyataan di laman sosial.

“Hal ini penting bagi mengelakkan timbul kegusaran awam sehingga boleh mencetuskan huru-hara dan situasi panik khususnya dalam kalangan ibu bapa,” ujarnya. – K! ONLINE

The post Tiada kejadian culik berlaku di Kampung Warisan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *