Terminal Feri Kuala Perlis sesak

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KANGAR – Terminal Feri Kuala Perlis hari ini sesak dengan penumpang ekoran penangguhan perjalanan feri ke Pulau Langkawi, Kedah selama beberapa jam.

Gambar penumpang yang bersesak-sesak tanpa ada penjarakan fizikal tular di Facebook.

Kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi tadi itu menunjukkan ratusan pengunjung dikatakan terpaksa menunggu  di luar terminal selepas ruang menunggu telah mencapai kapasiti maksimum.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, kesesakan itu dilaporkan hanya berlaku dalam tempoh 20 minit.

Kata beliau, pihaknya dengan bantuan tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia  kemudian bertindak mengawal lokasi tersebut.

“Keadaan itu berlaku disebabkan pengunjung yang berasak-asak untuk masuk ke dalam feri selepas perjalanan pengangkutan awam itu tertunda pada sebelah pagi.

“Keadaan mula terkawal pada tengah hari apabila air mula pasang dan feri kembali beroperasi,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan ke lokasi tersebut sekitar pukul 2 petang tadi mendapati kawasan terminal feri berkenaan dalam keadaan terkawal.

Difahamkan, faktor kesesakan sedemikian turut dikaitkan dengan cuti persekolahan yang serentak dengan cuti umum.

Dalam pada itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Venture, Kapten Baharin Baharom memberitahu,  terdapat 12 perjalanan feri ke Pulau Langkawi dari Kuala Perlis hari ini.

“Sebanyak 11,293 pelancong keluar masuk melalui Kuala Perlis dan Kuala Kedah hari ini,” katanya. – K! ONLINE

The post Terminal Feri Kuala Perlis sesak appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *