Tentera rampas hampir 3,000 kg dadah dari bot laju

BANDAR RAYA MEXICO – Pasukan tentera Mexico berjaya merampas sejumlah dadah hampir 3,000 kilogram (kg) daripada sebuah bot laju di perairan Mahahual, negeri Quintana Roo baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.

Menurut jurucakap tentera laut Mexico, ketika kejadian, sebuah helikopter dari pasukan marin dan Pertahanan Kebangsaan sedang membuat rondaan sebelum mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan kira-kira 135 kilometer dari pantai Mahahual.

Sebuah video yang dikongsi menunjukkan detik-detik anggota tentera turun dari sebuah helikopter menggunakan tali ke atas bot berkenaan sebelum memberkas tiga orang individu.

Bagaimanapun, identiti dan kewarganegaraan ketiga-tiga suspek tidak diketahui.

Anggota tentera mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan sewaktu membuat rondaan di perairan berhampiran pantai Mahahual, negeri Quintana Roo. – DAILY MAIL

Sementara itu, bot laju tersebut dibawa ke pelabuhan berhampiran dan pasukan tentera mendapati terdapat sebanyak 2,960 kg kokain yang dibalut dalam 74 bungkusan plastik dianggarkan berharga AS$142 juta (RM589 juta).

“Operasi pemantauan di laut, udara dan darat sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan jenayah, menjamin keselamatan dan memastikan undang-undang dipelihara di sepanjang perairan Mexico,” katanya dalam satu kenyataan.

Rampasan tersebut berlaku empat hari selepas jet pejuang tentera memintas sebuah pesawat ringan di ruang udara Mexico dan mengiringinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Palenque di negeri Chiapas.

Hasil pemeriksaan pesawat enjin berkembar Dassault Falcon itu menemui dadah berjumlah AS$65 juta (RM270 juta) dan menahan dua lelaki termasuk juruterbangnya. – Agensi

The post Tentera rampas hampir 3,000 kg dadah dari bot laju appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *