Tekong darat gagal rasuah PGA

SABAK BERNAM – Bukan sekali tetapi dua kali cubaan dilakukan seorang tekong darat bagi melepaskan diri bersama rakannya selepas dicekup menyeludup migran dalam Ops Benteng Covid di Jalan Parit Changkat di sini malam tadi.

Lelaki berusia 44 tahun itu diberkas bersama rakannya berusia 32 tahun dalam kejadian pukul 10.45 malam.

Turut ditahan adalah 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berusia lima hingga 34 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Supritendan Zulafendy Hassan berkata, operasi tersebut hasil maklumat awam dan risikan pihaknya terhadap kegiatan penyeludupan di kawasan tersebut.

Katanya, semasa ditahan lelaki tersebut pada mulanya menawarkan rasuah RM3,000 kepada anggota serbuan namun ditolak kerana perbuatannya jelas salah di sisi undang-undang.

“Tekong tersebut kemudiannya meninggikan tawaran rasuah kepada RM4,000 namun jumlah itu gagal mengaburi semangat kuat pihak berkuasa yang mengulangi kesalahan perbuatannya.

“Hasil siasatan dua lelaki tersebut dipercayai cuba melakukan aktiviti penyeludupan migran dengan keluar mengikut jalan laut yang tidak diwartakan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Beliau menambah hasil pemeriksaan turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun yang turut ingin keluar secara haram atas alasan isteri dan anaknya berada di Indonesia.

Difahamkan, tindakan itu susulan pintu sempadan Indonesia yang masih ditutup untuk rakyat luar.

Jelas Zulafendy, menerusi operasi tersebut merampas dua buah kereta, telefon bimbit pelbagai jenama serta wang tunai matawang Malaysia dan Indonesia bernilai RM17,835.42.

“Kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Sungai Besar untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1963,” katanya. – K! ONLINE

The post Tekong darat gagal rasuah PGA appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *