Tak mengaku pukul adik

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA – Seorang surirumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini terhadap pertuduhan memukul adik perempuannya bulan lalu.

Tertuduh, B. S. Darshan Kaur, 58, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret, Muhammad Nazrin Ali Rahim selepas mendengar pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap adik perempuannya, B. S. Balbeer Kaur, 56, dengan memukul menggunakan tangan di bahagian lengan kanan di sebuah rumah di Jalan Merbuk Taman Melaka Baru, kira-kira pukul 4.30 petang, 4 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari manakala tertuduh diwakili peguam V Saminathan.

Tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah memberikan tawaran jaminan yang rendah kerana suami hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Muhammad Nazrin Ali Rahim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin selain dilarang mendekati mangsa.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 21 September depan. – K! ONLINE

The post Tak mengaku pukul adik appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *