Suspek kemalangan tular direman tiga hari

KUALA LUMPUR – Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Volvo XC 60 yang ditahan kelmarin susulan satu kemalangan tular di Jalan Klang Lama di sini direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dan ujian air kencing yang dilakukan semalam mendapati dia positif dadah.

“Susulan itu, suspek yang bekerja sebagai peniaga ikan masin kini ditahan reman selama tiga hari hingga 8 September ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegas beliau.

Kosmo! hari ini melaporkan tentang satu kejadian tular melibatkan dua buah kenderaan yang bertembung selepas sebuah kereta SUV jenis Volvo XC 60 memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta Perodua Myvi.

Kedua-dua pemandu kenderaan terlibat kemudiannya diminta untuk tampil ke balai polis bagi membantu siasatan sebelum pemandu kereta Volvo XC 60 ditahan kerana didapati positif dadah.

Difahamkan, ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphethamine, benzodiazepine dan ketamin. – K!ONLINE

 

The post Suspek kemalangan tular direman tiga hari appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *