Subsidi kos kuarantin warganegara kekal, bukan warga perlu bayar penuh

KUALA LUMPUR- Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin bagi warganegara yang memasuki pintu masuk negara bermula hari ini.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, mereka hanya perlu membayar kos penginapan sebanyak RM2,100 seperti diputuskan sebelum ini.

“Kos pengoperasian sebanyak RM2,600 adalah kekal ditanggung oleh kerajaan.

“Bagi individu kedua dan ketiga yang berkongsi bilik dengan individu pertama, kos penginapan adalah separuh iaitu RM700, manakala bagi anak yang berumur di bawah enam tahun, kos penginapan adalah percuma,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, individu bukan warganegara perlu membayar caj penuh tanpa subsidi kerajaan pada kadar RM4,700, iaitu RM2,600 caj tetap pengoperasian dan RM2,100 kos penginapan. Sebelum ini mereka hanya perlu membayar RM2,100 kos penginapan.

Kerajaan sebelum ini telah memutuskan bahawa caj kuarantin bagi semua individu yang memasuki pintu masuk negara adalah di bawah tanggungan sendiri.

Arahan berkenaan telah dimulakan dengan pungutan caj kepada anak kapal yang bukan warganegara sahaja.

Sejak 24 Julai sehingga semalam seramai 33,534 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 Hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA).

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, pihak polis telah menahan 137 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada jumlah itu, seramai 111 individu telah dikompaun, 25 direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam (39), penjarakan fizikal (32), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (25), disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran (14), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (10), keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan munasabah (7), tidak memakai pelitup muka (6), dan premis beroperasi
tanpa kebenaran (4),” jelasnya. – K! ONLINE

The post Subsidi kos kuarantin warganegara kekal, bukan warga perlu bayar penuh appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *