Suami isteri terima RM13,466.17, pencen penakat

Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT

KLUANG – Ibarat mendapat durian runtuh, sepasang suami isteri terkejut apabila menerima tunggakan bayaran Pencen Penakat berjumlah RM13,466,17 milik anak sulung mereka yang meninggal dunia 11 tahun lalu.

Sujak Tarmin,70, dan isterinya juga kini layak menerima pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara bulanan sebanyak RM110 setiap seorang hingga akhir hayat mereka.

Sujak berkata, anaknya, Mohd. Syahrilizam berusia 33 tahun terbabit dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 20 September 2009.

“Anak saya meninggal dunia di lokasi kejadian dan sejak itu kami pasrah dan redha walaupun perit untuk diterima ketika itu.

“Arwah anak yang baik kerana turut membantu menanggung nafkah kami dan dua adik-adiknya yang masih bersekolah waktu itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sujak berkata, sebelum bekerja di UTHM, anaknya pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan swasta selama beberapa tahun.

“Saya tak tahu pula kerana caruman PERKESO nya dahulu mencukupi syarat bagi membolehkan kami menerima pencen penakat dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1,500.

“Saya ingatkan arwah tidak berhak untuk mendapatkan bayaran disebabkan sudah bekerja dengan kerajaan dan tidak lagi bekerja di syarikat swasta berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pejabat Perkeso Kluang, Ahmad Suzaime Abdul Aziz berkata, orang ramai yang menghadapi situasi serupa boleh merujuk pihaknya.

Katanya, waris si mati perlu hadir ke pejabat PERKESO terdekat bagi mengetahui sama ada mereka layak menerima faedah-faedah berkenaan.- K! ONLINE

The post Suami isteri terima RM13,466.17, pencen penakat appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *