Suami isteri rayu bantuan sara dua anak sakit

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN- Sepasang suami isteri memohon bantuan orang ramai bagi menyara dua anak mereka yang mengalami sawan kronik dan menghidap autism.

Adzhar Andi, 37 dan Nurul Ashafiqah Azlan, 24, berkata kini terpaksa berhenti kerja kerana kedua-dua anak mereka itu memerlukan penjagaan rapi.

Menurut Nur Ashadiqah, anak pertamanya, Nur Iman Fitriyah, 3, mengalami masalah serangan sawan kronik sejak berusia tiga bulan dan kini bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen.

“Dalam sehari dia mengalami sawan sebanyak sembilan kali dan memerlukan penjagaan penuh serta bergantung dengan susu sahaja.

“Anak kedua pula iaitu Muhammad Iman Khalifah, 2, menghidap asma dan autism selain emosi yang tidak menentu dan perlu dikawal sepenuhnya,” katanya kepada Kosmo! di kediamannya di Pangsapuri Sri Perdana, Paroi di sini tadi.

Ujarnya, doktor mengesyaki anak kedunya menghidap autism kerana mengalami emosi yang tidak stabil dan agak lambat berjalan selain kurang bergaul seperti kanak-kanak lain.

“Saya dan suami terpaksa berhenti kerja di sebuah kedai permainan kanak-kanak di Senawang pada Ramadan lalu kerana keadaan Nur Iman Fitriyah pada waktu itu.

“Kami juga mengalami masalah membayar sewa rumah dan bil elektrik yang tinggi kerana Nur Iman Fitriyah menggunakan mesin oksigen sepenuh masa,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh menghubungi Nurul Ashafiqah di talian 017-6796954 atau menyumbang terus menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0511241000206952. – K! ONLINE

 

 

The post Suami isteri rayu bantuan sara dua anak sakit appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *