Suami isteri ketakutan diugut ah long

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri warga emas yang tinggal di Jalan Teratai 19, Taman Johor Jaya di sini hidup dalam ketakutan selepas diganggu ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long sejak awal bulan ini.

Mangsa, Wong Bun Meang, 67, berkata, dia dan isterinya diganggu ah long sebanyak tiga kali bermula pada 11, 22 dan 28 Ogos lalu.

Menurutnya, dia berasa hairan kenapa mereka diganggu sedangkan tidak pernah membuat pinjaman wang daripada mana-mana ah long.

“Saya tidak pernah pinjam wang daripada mana-mana ah long atau tidak pernah bergaduh dan bermusuh dengan sesiapa pun.

“Saya ada tiga orang anak masing-masing dua tinggal di Kuala Lumpur dan seorang di Singapura, saya telefon mereka pun, mereka tidak pinjam wang,”katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.

Bun Meang berkata, pada 11 September, dua lelaki menaiki motosikal membaling dan sekeping papan tertera nombor telefon untuk dihubungi namun apabila dia menghubungi nombor tersebut gagal.

Jelasnya, kejadian kedua pula lelaki tersebut datang lagi dan membaling tiga pek cat warna merah manakala kejadian ketiga pada Isnin lalu suspek membaling petrol sebelum kereta Nissan Sentra miliknya terbakar.

“Mujur ketika itu saya sedang mengemas rumah dan ternampak mereka baling bom petrol, saya cepat-cepat padamkan api sebelum merebak,”katanya.

Bun Meang berkata, dia kemudian membuat tiga laporan polis di Balai Polis Johor Jaya susulan ketiga-tiga kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Pengaduan Dan Perkhidmatan Awam MCA Bahagian Pasir Gudang, Ang Tun Chek berkata, pihaknya memohon agar mereka yang melakukan jenayah itu untuk tampil menghubunginya untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Mereka yang terlibat yang baling cat, petrol itu kami minta hubungi saya terus ditalian 019-7720906 untuk bincang secara baik,”katanya.-K! ONLINE.

The post Suami isteri ketakutan diugut ah long appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *