STAR PDM PUKAK BUBAR, 85 AHLI MASUK UPKO

KIULU: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) sentiasa mendapat sambutan di hati rakyat apabila terus menerima kemasukan dari parti lain.

Terbaru, 85 ahli daripada Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pukak Kiulu telah menyerahkan borang keahlian menyertai UPKO.

Penyerahan borang disampaikan oleh Ketua STAR PDM Pukak, Moidin Sorodo kepada Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau semasa Program Ramah Mesra Rakyat bersama pemimpin di sini.

Menurut Moidin, beliau mengakui kata-kata daripada bekas Ketua Pemuda STAR Pusat, Terrence Sinti bahawa parti itu telah lari dari perjuangan asal adalah tepat dan benar.

“Sebelum ini kita menyokong kepimpinan STAR kerana membawa agenda menumbangkan parti Barisan Nasional UMNO.

“Tapi ia tidak berlaku selepas Pilihan Raya Ke-14 sebaliknya, STAR di bawah Datuk Dr Jeffrey Kitingan pula bertindak menyelamatkan BN-UMNO.

“Kami tidak mahu bersekongkol dengan pimpinan sebegini,” katanya.

Penyerahan borang itu sekali gus membawa kepada pembubaran STAR di PDM Pukak.

Sementara itu Moidin memaklumkan, beliau menyertai UPKO kerana parti itu dilihat sebagai satu-satunya parti yang konsisten dalam memperjuangkan hak-hak Sabah.

“Kita mahu perjuangan seumpama ini, dan bukannya perjuangan yang berubah-ubah demi survival politik.

“Sebagai contoh perjuangan untuk menarik semula kad pengenalan terus disuarakan sejak berada dalam kerajaan terdahulu sehingga kini, bagi membanteras penyelewengan dalam pemberian IC.

“Ini adalah salah satu daripada pelbagai lagi yang saya lihat diperjuangkan UPKO secara konsisten,” katanya.-http://beritasabah.com

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *