Sinergi kolaborasi FAS, Team Bosskurr

Anjur program amal The Clash bagi dapatkan dana kepada badan kebajikan

PERSATUAN Bola sepak Se­langor (FAS) telah mengadakan kerjasama dengan pasukan e-Sukan terkemuka negara, Team Bosskurr untuk menganjurkan program amal The Clash di Pusat Latihan FAS, Shah Alam pada 20 Ogos lepas.

Program amal melibatkan pertarungan permainan video PlayerUnknown Battleground’s Mobile (PUBG) dianjurkan sebagai inisiatif untuk mendapatkan dana bagi disalurkan kepada badan kebajikan.

Selain itu, program itu juga menjadi titik pertemuan antara atlet sukan bola sepak dan pemain e-Sukan profesional untuk berkongsi pentas dan bekerjasama demi mencapai sebuah objektif yang lebih baik.

Presiden FAS, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menjadi sebahagian daripada peserta program dan berentap bersama-sama pemain pasukan FAS dan Team Bosskurr.

Tengku Amir Shah sempat menzahirkan rasa gembira atas kerjasama antara FAS dan pasukan e-Sukan khususnya dalam memberikan lebih banyak manfaat kepada badan yang memerlukan.

“Beta berpendapat, ia satu program yang bagus dengan kolaborasi pertama bersama pasukan tersohor arena e-Sukan tanah air iaitu Team Bosskurr.

“Kita pernah melakukan beberapa program e-Sukan yang lain tetapi untuk permainan video PUBG, ini adalah yang pertama. Beta percaya, penyokong Gergasi Merah dan peminat PUBG juga teruja dengan program yang dianjurkan.

“Paling penting, kutipan daripada program The Clash ini akan disalurkan kepada badan kebajikan untuk membantu mereka ketika pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini,” titah Tengku Amir Shah dalam satu kenya­taan baru-baru ini.

TENGKU AMIR SHAH (kanan) meluangkan masa beramah mesra dengan bintang e-Sukan, Soloz ketika program amal The Clash di Pusat Latihan FAS, Shah Alam pada 20 Ogos lepas.

Sementara itu, wakil kepada Team Bosskurr, Nureddy Nursal yang lebih dikenali sebagai Daddy mengakui sangat teruja de­ngan kerjasama melibatkan pasukan e-Sukan bersama persatuan sukan profesional se­perti FAS.

“Ini adalah program yang sangat bagus kerana bukan selalu pasukan e-Sukan dapat berada dalam satu arena bersama persatuan sukan dan lebih menarik ia dilakukan hasil tujuan kebajikan.

“Saya harap program ini akan jadi permulaan untuk mana-mana badan sukan menjalinkan lebih banyak kerjasama bersama pasukan e-Sukan dan tidak semestinya Team Bosskurr sahaja tapi dengan pasukan e-Sukan yang lain,” katanya.

BINTANG Selangor, Brendan Gan (kiri) dan Safuwan Baharudin turut serta berentap dalam program The Clash di Pusat Latihan FAS, Shah Alam.

Program The Clash mencipta sejarahnya tersendiri apabila mendapat lebih 485,000 tontonan dalam masa 2 jam sewaktu disiarkan secara langsung di Facebook rasmi FAS dan laman sosial milik wakil Team Bosskurr, Soloz (Faris Zakaria).

Dalam siaran secara langsung tersebut, penonton disajikan dengan aksi pertempuran permainan PUBG oleh kedua-dua wakil pasukan selain turut meng­hulurkan derma dan sumbangan seikhlas hati.

Kerjasama antara FAS dan pasukan Team Bosskurr telah berjaya menjana RM5,000 hasil sumbangan penonton untuk di­salurkan kepada persatuan Agape Love iaitu sebuah badan sukarelawan yang sudah beroperasi lebih 10 tahun dan membantu ratusan remaja di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk mendapat pembelaan sewajarnya.

The post Sinergi kolaborasi FAS, Team Bosskurr appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *