Seorang maut manakala 3 lagi parah terlibat kemalangan

KAJANG – Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan termasuk sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Saujana Impian berhampiran sebuah pasar raya di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.35 pagi itu, mangsa, Yap Khiam Heung,50, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kereta yang dari arah bertentangan.

Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Kancil itu dikatakan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu manakala pemandu kereta jenis Proton Persona dan dua penunggang motosikal pula dilaporkan parah sebelum dikejarkan ke hospital.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.41 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, pihak bomba dapati seorang lelaki tersepit di dalam kereta dan operasi pemotongan di bahagian tempat pemandu dilakukan bagi mengeluarkan mangsa tersebut.

“Selepas dikeluarkan, pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya operasi selesai sepenuhnya pada pukul 8.47 pagi. – K! ONLINE

The post Seorang maut manakala 3 lagi parah terlibat kemalangan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *