Selangor tunjuk belang sang juara bertahan

KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Selangor berada dalam kelas tersendiri apabila mudah membelasah Terengganu 8-0 pada aksi pertama Kumpulan A saingan Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Bekas penyerang kebangsaan, Fatin Naimah Zaki berjaya merakam hatrik selain dua gol daripada Nur Atira Mohamad Ismail dan masing-masing satu jaringan menerusi Anis Nurfatihah Asmidee, Fatin Shafika Mahd Sukri serta Nuramirah Syakirah Zulkifli.

Ketua jurulatih Selangor, Ikmal Abdul Jabar gembira dengan prestasi yang ditunjukkan barisan pemainnya walaupun beliau mengakui corak permainan mereka masih boleh diperbaiki selepas ini.

“Secara keseluruhan, saya gembira kerana kami berjaya meraih kemenangan. Saya juga bertuah kerana mempunyai pemain-pemain yang memahami sistem permainan saya seperti ditunjukkan hari ini,” katanya.

Pesta jaringan itu secara tidak langsung menyuntik semangat barisan pemain Selangor untuk melakar kemenangan seterusnya apabila menentang Pulau Pinang pada aksi kedua Kumpulan A esok.

Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah kerana Pulau Pinang juga berjaya mencatat kemenangan dalam aksi pertama mereka hari ini selepas menewaskan Perak 3-2.

ZULAIKA (tengah) melakukan percubaan ke arah gawang gol Sarawak untuk membuka tirai jaringan buat Pahang pada aksi Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional hari ini. – FB MHC

Sementara itu, pasukan pilihan, Pahang turut berpesta gol menewaskan Sarawak 5-0 dalam aksi Kumpulan B menerusi gol daripada Siti Zulaika Hussin, Nurul Fatin Fatiah Azman, Nuraini Abdul Rashid, Wan Norfaeizah Md. Saiuti dan Hanis Nadiah Onn.

Satu lagi aksi Kumpulan B yang berlangsung hari ini menyaksikan Kuala Lumpur tewas tipis 0-1 kepada Melaka hasil jaringan tunggal Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin. – K! ONLINE

The post Selangor tunjuk belang sang juara bertahan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *