Saya ke Belanda bukan semasa PKPP – Mohd Khairuddin

Oleh SHAARANI ISMAIL

SERI ISKANDAR – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menafikan dakwaan beliau pergi ke Belanda ketika lawatannya ke Turki semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan sebagaimana tular di media sosial.

Mohd Khairuddin sebaliknya menjelaskan gambar yang ditularkan di media sosial adalah gambar lama yang diambil ketika beliau berkunjung ke negara berkenaan atas kapasiti peribadi dan urusan kerja pada tahun 2016 hingga 2019.

“Ada sebaran di media sosial dibuat menyatakan saya ke Belanda, jadi saya ingin maklumkan bahawa saya ke Belanda itu bukan sekarang (ketika PKPP) tetapi itu memang program yang berlangsung sebelum ini.

“Pada 2018 saya ke Belanda, pada 2016 saya ke Belanda juga dan pada 2017 saya (sekali lagi) ke Belanda juga untuk beberapa projek yang lain dan bukan pada ketika dilaporkan baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Aplikasi RRIMNiaga Tingkatkan Insentif Pengeluaran Getah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd. Nor.

Beliau mengulas dakwaan yang tular di media sosial dan beberapa blog yang mendakwa dirinya turut pergi ke Belanda selain Turki selepas didapati gagal melakukan kuarantin sendiri sekembali dari Turki Julai lalu.

Dakwaan itu turut tular di beberapa hantaran di laman Twitter serta turut dikongsi netizen.

Mohd Khairuddin berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mendakwa dan membawa pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mendakwa beliau berkunjung ke Belanda di laman internet.

“Saya hanya ke Turki sahaja dan tidak ke mana-mana negara selain Turki dan orang yang membuat berita palsu di internet tunggulah surat guaman daripada saya,” katanya.

Beliau berkata, peguamnya juga sudah menguruskan satu tindakan guaman kepada sebuah syarikat media yang turut menyebarkan berita palsu serta gambar beliau dan isteri yang didakwa berkunjung ke Belanda ketika PKPP dan menjelaskan gambar yang ditularkan adalah gambar yang diambil pada tahun 2016.

Dalam pada itu, ditanya perkembangan semasa dari polis selepas beliau memberi keterangan di Bukit Aman kerana mengingkari arahan ditetapkan untuk kuarantin selama 14 hari mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berkangkit 1988, Khairuddin berkata biarlah polis yang mengumumkan sebarang perkembangan terkini.

“Saya tidak boleh cakap apa-apa, saya serahkan kepada polis untuk membuat kenyataan.

“Saya telah dipanggil dan membuat satu keterangan sebagai saksi sekali sahaja dan sekarang sedang menunggu proses apa keputusannya dan saya  akan dimaklumkan mengenainya secepat mungkin,” katanya. -K! ONLINE

The post Saya ke Belanda bukan semasa PKPP – Mohd Khairuddin appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *