‘Saya berani bersumpah tak pernah minum arak’ – Ara Johari

KUALA LUMPUR – Penyanyi Ara Johari menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengambil minuman keras apabila menarik diri daripada menjayakan program terbitan sebuah stesen televisyen pada saat akhir hingga menyusahkan produksi baru-baru ini.

Ara atau nama sebenarnya, Nurfarrah Izzatie Johari, 23, berani bersumpah tidak pernah minum minuman keras ataupun berada di bawah pengaruh dadah seperti didakwa segelintir pihak.

“Saya berani bersumpah yang saya tidak pernah sentuh minuman berasaskan alkohol waima barang-barang terlarang seperti dadah.

“Saya sedikit kecewa dengan dakwaan tidak berasas seperti ini. Walaubagaimanapun, mulut orang saya tidak boleh tutup. Janji saya dan keluarga tahu yang saya tidak pernah sentuh benda-benda seperti itu,” kata Ara.

Pelantun lagu Paku itu ditemui Kosmo! pada sidang akhbar kempen ‘Malaysiaku, Kita Selamat Bersama’ bersempena bulan kemerdekaan kendalian Astro.

Jelas Ara lagi, terdapat segelintir pihak sewenang-wenangnya mendakwa dirinya ‘kaki minum’ disebabkan fizikalnya yang kurus.

“Saya tidak tahu mengapa orang tuduh saya kaki minum atau ambil ‘barang’ hanya kerana saya kurus. Berat badan saya sekarang 48kilogram.

“Apapun, biarlah apa yang orang ingin kata kerana saya tahu kalau mereka sudah penat nanti, mereka akan berhenti bercakap dan diam. Seperti yang saya cakap tadi, keluarga dan orang sekeliling lebih tahu siapa saya macam mana,” katanya.

Ditanya adakah dakwaan tersebut turut berpunca daripada pergaulan sosial dirinya dengan orang-orang yang menjurus ke arah tersebut, Ara tidak menafikan hal itu.

“Saya berkawan dengan semua orang. Saya akui ada kawan yang suka bersosial dan minum tetapi kita yang tentukan diri sendiri.

“Kita yang membentuk diri kita bagaimana,” jelas Ara lagi yang bakal keluar dengan single terbaharu paling lewat hujung tahun ini.

Terdahulu, Ara memberi alasan terpaksa membatalkan saat akhir daripada terlibat dengan satu program televisyen disebabkan masalah semput.

Katanya, apabila diserang semput, dia mendapatkan rawatan menggunakan mesin nebulizer. Namun, dalam situasi Covid-19 yang masih belum reda, doktor tidak menggalakkan Ara menggunakan kaedah itu. – K! ONLINE

The post ‘Saya berani bersumpah tak pernah minum arak’ – Ara Johari appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *