Sambutan Hari Belia Negara 15 Ogos 2020

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Belia Negara 2020 yang tertangguh sejak 15 Mei lalu akibat pandemik Covid-19 akan disambut pada 15 Ogos ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M. Noor Azman Taib berkata, buat julung kali sambutan Hari Belia Negara akan diadakan di Johor.

“Sambutan Hari Belia Negara 2020 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tema Hari Belia Negara pada tahun ini “Dekad Ini Dekad Anda” bersesuaian dengan peranan belia dalam visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau turut memperkenalkan logo rasmi Hari Belia Negara 2020 yang dipilih daripada 135 penyertaan Pertandingan Penciptaan Logo Hari Belia Negara Negara 2020.

M. Noor Azman berkata, pengisian program sambutan Hari Belia Negara tahun ini agak berbeza berbanding penganjurannya sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, sambutan Hari Belia Negara kali ini terdiri daripada campuran fizikal dan maya yang dipecahkan kepada lima kluster iaitu Kepimpinan, Ekonomi, Sukan dan Kecergasan, Sosial dan Pertandingan.

Jelas beliau, sebanyak 17 aktiviti yang akan dianjurkan secara maya termasuk program “HBN20 e-Sport Challenge” dan “Suara Lit” iaitu kisah belia berjaya.

Kata beliau, program fizikal akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada melibatkan dua acara utama iaitu Konvensyen Belia dan Anugerah Perdana Belia Negara.

“Sejurus sambutan Hari Belia Negara 2020 akan disusuli sambutan di peringkat negeri-negeri pula,” katanya. – K! ONLINE

The post Sambutan Hari Belia Negara 15 Ogos 2020 appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *