Saharul Ridzwan hargai isteri, hadiahkan kereta Honda

KUALA LUMPUR – Pelakon, Saharul Ridzwan, 32, membuat kejutan kepada isterinya dengan menghadiahkan sebuah kereta jenis Honda Jazz sempena ulang tahun perkahwinan ke-4 mereka.

Isterinya, Deena Amir atau nama penuhnya Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, 32, berkongsi berita gembira itu menerusi satu hantaran Instagramnya hari ini.

“Kejutan daripada suami! Masya-Allah. Terkejut betul tadi sebab ulang tahun perkahwinan sepatutnya pada 16 September depan, tetapi dapat hadiah tadi.

“Dia (Saharul) suruh siap tadi sebab nak rekod video untuk reviu. Habis comot muka Deena, maskara meleleh sebab menangis,” katanya.

Tambah Deena, dia bersyukur dan berterima kasih kepada suaminya atas hadiah dan kasih sayang yang dicurahkan kepadanya.

“Allahuakbar sayang, terima kasih untuk cinta dan usaha yang telah diberikan selama ini.

“Doa saya sentiasa untuk awak,” ujarnya.

Sementara itu, Saharul menerusi Instagramnya turut memberikan kata-kata nasihat kepada pengikutnya sempena ulang tahun perkahwinannya.

Dalam hantaran tersebut, dia menitipkan nasihat kepada kaum lelaki khususnya suami untuk memperbaiki hubungan suami isteri jika ingin dimurahkan rezeki.

“Jika terasa rezeki sempit, usah risau. Perbaiki hubungan dengan isteri dulu. Baiki mana yang terkurang. Gembirakan hatinya. Insya-Allah, awak akan lihat rezeki datang dalam bermacam bentuk rupa.

“Buat isteri gembira, rezeki datang. Buatkan isteri rasa dihargai, rezeki melimpah. Sentiasa buat isteri seronok, rezeki datang tak disangka,” katanya.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 16 September 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata Muhammad Luth Ali, 3, dan Fateema Azzahra yang baru berusia 2 bulan. – K! ONLINE

The post Saharul Ridzwan hargai isteri, hadiahkan kereta Honda appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *