
Oleh YATIMIN ABDULLAH
PASIR MAS – Seramai 60 pekerja buruh binaan warga asing di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kongsi yang menjadi tempat berteduh mereka di tapak pembinaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Lubok Jong terbakar awal pagi tadi.
Bagaimanapun, kejadian pukul 1.10 pagi itu tidak melibatkan kemalangan jiwa apabila semua mangsa terlibat berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.14 pagi.
Menurutnya, seramai 15 anggota dari Pasir Mas, Kota Bharu dan Rantau Panjang bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.
“Apabila tiba di lokasi, kebakaran tersebut melibatkan empat buah blok rumah kongsi telah terbakar,” katanya.
Shapawi memberitahu, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – K! ONLINE
The post Rumah kongsi warga asing terbakar appeared first on Kosmo Digital.