Rumah condong ketika tidur

Oleh IVAN AMIRUL

SIPITANG – Tidur 11 sekeluarga di Kampung Palakat, di sini dikejutkan apabila rumah didiami mereka tiba-tiba condong serta hampir roboh malam semalam.

Kejadian berkenaan hanya disedari kira-kira pukul 11.30 malam selepas ahli keluarga berkenaan terdengar bunyi bising yang kuat sebelum menyedari rumah didiami condong dan bertindak keluar menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala keluarga terbabit kini difahamkan menumpang di rumah ketua kampung kerana bimbang rumah mereka akan roboh.

Keluarga terbabit kemudian bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah untuk meminta bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pukul 8.33 pagi hari ini sebelum sepasukan bomba diarahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, anggota bertugas mendapati memang terdapat sebuah rumah kayu yang hampir roboh.

“Pasukan bomba terus membuat pengstabilan untuk mengeluarkan motosikal dan barang peribadi penghuni rumah berkenaan.

“Anggota yang ditugaskan turut menyelamat beberapa ekor anak kucing yang terperangkap di rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Janil menyatakan keadaan rumah berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai tidak selamat untuk didiami. – K! ONLINE

The post Rumah condong ketika tidur appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *