Rompak telefon bimbit, dua penganggur dijel 40 bulan

KUALA LUMPUR – Hanya kerana merompak sebuah telefon bimbit milik lelaki warga Bangladesh, dua penganggur menerima padah apabila dihukum penjara 40 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Emelia Kaswati Mohd. Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Badrul Farez Merican Awaludin Merican, 31, dan Al-Sadeed Vergiano, 39, selepas mereka menukar kepada pengakuan bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan bermula dari tarikh ditangkap pada 24 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan rompak berkumpulan sebuah telefon bimbit jenis Oppo Model A5 yang berharga RM700 milik Hossain Azad di hadapan Daikin Cool & Hot Home Appliance Sdn. Bhd. Jalan Landak di sini pukul 5 petang pada 24 Mac lalu.

Berikutan itu, pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana perbuatan kedua-dua tertuduh melibatkan faktor keselamatan awam.

Bagaimanapun Badrul Farez dan Al-Sadeed yang tidak diwakili tidak membuat sebarang rayuan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu telah didatangi tertuduh yang menyamar sebagai anggota polis dan meminta pengadu mengeluarkan pasport.

Pada masa sama, kedua-dua tertuduh telah menyeluk poket seluar pengadu dan telah mengambil telefon bimbit jenis Oppo lalu melarikan diri.

Pengadu yang terkejut kemudian telah mengejar tertuduh dan pada masa sama meminta bantuan anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu.

Hasil maklumat pengadu, kedua-dua tertuduh kemudian berjaya ditangkap pada hari sama pada pukul 6 petang di Jalan Imbi. -K! ONLINE

The post Rompak telefon bimbit, dua penganggur dijel 40 bulan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *