RM2 JUTA BANGUNKAN TAMU PEKAN TAGINAMBUR

KOTA BELUD: Kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembangunan Fasa 1 dan 2 Tamu Pekan Taginambur.

Menteri Catetaker Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, pembangunan fasa 1 termasuk pembinaan Dewan Kadamaian Square dan penyediaan pelbagai kemudahan lain di kawasan itu siap awal tahun ini dan pembangunan fasa 2 dimulakan hari ini.

“Bagi pihak masyarakat Kota Belud khususnya di Taginambur saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal kerana telah menurunkan waran peruntukan Fasa 1 sebanyak RM1 juta untuk menaiktaraf Tamu Taginambur seperti yang kita lihat pada hari ini yang kini mempunyai Dewan Kadamaian Square, tapak tamu konkrit, tempat letak kereta konkrit dan pelbagai lagi kemudahan lain di kawasan ini.

“Bagi Fasa 2 pula, waran peruntukan sebanyak RM1 juta seperti yang diumumkan Ketua Menteri di tempat ini pada Januari lepas semasa Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru 2020 telahpun diturunkan kepada pejabat daerah Kota Belud bulan lepas dan proses perlantikan kontraktor telahpun dibuat bagi melaksanakan kerja-kerja yang terlibat.

“Pembangunan Fasa 2, melibatkan pembinaan rumah rehat, kafeteria, pembinaan konkrit tebing-tebing sungai di sepanjang persisiran tamu ini dan menambahbaik kemudahan dewan Kadamain Square,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Fasa 2 Tamu Taginambur dan Penyerahan Geran Tanah Daerah Kota Belud serta Penyerahan Input Pertanian, di Dewan Kadamaian Square Taginambur, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Ewon berkata, Tamu Taginambur bukan hanya untuk masyarakat Kadamaian tetapi juga untuk masyarakat Kota Belud secara keseluruhannya kerana Taginambur merupakan antara satu pusat aktiviti ekonomi di daerah ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas usaha Wakil Rakyat Kadamaian sebelum ini yang berjaya mewujudkan Tamu Taginambur.

“Setiap wakil rakyat sebelum ini mempunyai peranan, sumbangan serta pencapaian masing-masing. Misalnya Datuk Yapin Gimpoton (Mantan Wakil Rakyat Kadamaian) telah membuka (memulakan) tamu ini. Kalau ada yang memulakan, pasti ada yang melengkapkan dan ini adalah sebahagian daripada usaha saya untuk melengkapkan inisiatif yang telah dibuat oleh Datuk Yapin,” katanya.

Beliau berkata, selain pembangunan kawasan Tamu Taginambur, kerajaan negeri melalui kementeriannya telahpun meluluskan peruntukan untuk pembinaan Pusat Kompleks Keusahawanan di Pekan Taginambur.

“Tapak Pusat Kompleks Keushawanan untuk membina bangunan-bangunan keusahawanan desa telahpun diratakan. Kementerian saya telah meluluskan pembinaan dua bengkel bagi tahun ini dan akan diteruskan pada tahun hadapan. Walaupun kita mulakan secara kecil-kecilan namun impaknya untuk jangka panjang amat besar, sekiranya diusahakan bersungguh-sungguh,” katanya.-http://beritasabah.com

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *