Remaja lelaki maut motosikal dirempuh

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

ALOR GAJAH – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Masjid Tanah di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Muhamad Alif Aiman Ahmad Fahmi, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke pekan Masjid Tanah.

“Setiba di tempat kejadian, mangsa yang sedang membelok ke kanan untuk memasuki simpang telah dirempuh di bahagian hadapan kanan oleh sebuah kereta jenis Honda HR-V.

“Akibat kemalangan itu, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu wanita berusia 43 tahun terbabit tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

MUHAMAD ALIF AIMAN

 

Arshad berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, pemandu tersebut dan saksi bebas telah diminta hadir ke balai polis bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua kenderaan terlibat turut di bawa ke Balai Trafik Alor Gajah untuk Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya. – K! ONLINE

The post Remaja lelaki maut motosikal dirempuh appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *