Pusat Analisis Ketum Zon Timur di Kelantan

Oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Jabatan Kimia Malaysia bercadang untuk mewujudkan Pusat Analisis Ketum Zon Timur di Jabatan Kimia Kelantan, Kampung Telok Panji di sini berikutan peningkatan kes membabitkan penyalahgunaan daun ketum di negeri pantai timur meningkat secara mendadak.

Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (Mosti), Ahmad Amzad Hashim berkata, ia dijangka beroperasi menjelang tahun 2022 dan akan menjadi pusat bagi menganalisis kes-kes ketum dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Jabatan Kimia Kelantan telah menerima sebanyak 2,477  kes pada tahun 2018 dan 2,492 kes tahun lalu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 24 tan daun ketum.

“Pada tahun ini, kita telah menerima lima kes berskala besar berjumlah 10 tan.

“Keseluruhan kes yang diterima oleh Jabatan Kimia Kelantan sehingga pada awal tahun hingga bulan ini sebanyak 1,641 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Majlis Perasmian Bangunan Jabatan Kimia Malaysia Kelantan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kimia Malaysia, Mohd.Zaini Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Kimi Kelantan, Hashimah Yahya.

Sementara itu, Ahmad Amzad berkata, bangunan berkenaan telah digunakan sejak 10 tahun lalu dengan kos pembinaan berjumlah RM31.7 juta.

Beliau berkata, dengan mengambil kira peningkatan kes untuk tempoh tiga tahun dicadangkan untuk menubuhkan pusat analisis di negeri ini.

“Sebelum ini, Jabatan Kimia bukan sahaja menerima kes daripada pihak polis malah menjadi sumber rujukan untuk barang kes terutamanya ketum.

“Selain Kelantan, negeri Kedah dan Perlis juga merupakan lokasi kelompok untuk tanaman ketum di negara ini,” katanya. K! ONLINE

The post Pusat Analisis Ketum Zon Timur di Kelantan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *