Proton sasar jualan 4,000 unit X50 tahun ini

TANJUNG MALIM – Proton Edar Sdn. Bhd. (Proton Edar) mengunjurkan jualan 4,000 unit kenderaan utiliti sports (SUV) baharu yang dinanti-nantikan ramai iaitu Proton X50 untuk tahun ini.

Sebagai perbandingan, sebanyak 12,732 unit Proton X70 model tahun 2020 telah berjaya dijual setakat akhir Ogos lalu, selepas dilancarkan pada Februari.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, kilang pemasangan Proton di Tanjung Malim mampu memenuhi sasaran yang diunjurkan malah, kapasiti pengeluaran X50 mampu ditingkatkan kepada 8,000 unit tahun ini.

“Tempahan untuk Proton X50 dibuka kepada orang ramai pada Rabu dengan bayaran sebanyak RM500.

“Sekiranya berlaku pertumbuhan permintaan di luar jangkaan, pihak kami berjanji akan menambah pengeluaran bagi memenuhi permintaan pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Sesi Pratonton Media Proton X50 di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd. (Proton), Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed.

Ruang dalam Proton X50.

Tambah Roslan, jika pelanggan menempah Proton X50 pada tahun ini, mereka berpeluang menikmati pengecualian cukai jualan yang ditawarkan kerajaan sehingga akhir tahun.

Harga Proton X50 bagaimanapun belum diumumkan secara rasmi dan sesi pratonton untuk pelanggan akan diadakan di empat lokasi berlainan bermula Sabtu ini.

SUV Segmen-B itu didatangkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship dengan tiga varian pertama dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo manakala varian Flagship hadir dengan enjin 1.5 liter TGDI yang lebih berkuasa.

Kesemua varian tersebut digandingkan bersama transmisi tujuh kelajuan klac berkembar dengan enam pilihan warna iaitu snow white, armour silver, jet grey, ocean blue, citric orange dan passion red.

Antara teknologi menarik ialah pengguna boleh menghidupkan enjin dan penyaman udara menerusi telefon pintar mereka menggunakan aplikasi Proton Link.

The post Proton sasar jualan 4,000 unit X50 tahun ini appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *