Program Podium akan ditambahbaik – Reezal

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya penambahbaikkan semula Program Podium ketika ini lebih jelas terutama untuk misi ke Sukan Olimpik yang ditangguhkan ke tahun 2021 akibat serangan pandemik Covid-19.

Reezal berkata, misi utama adalah memastikan atlet yang mengikuti program Road to Tokyo (RTT) berada dalam keadaan terbaik memandangkan mereka hanya mempunyai tempoh setahun untuk melakukan persiapan sebelum berlepas ke Jepun.

“Mengenai Program Podium, saya membangkitkan keperluan-keperluan tertentu bila berlakunya penangguhan Sukan Olimpik 2020 akibat Covid-19 dan berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Masalah tersebut menjejaskan dari segi prestasi dan siap siaga atlet kita ke Olimpik Tokyo.

“Maka, ada keperluan untuk kita lihat semula termasuk Program Podium yang telah berlangsung selama 4 tahun ini. Alhamdulilah, kita melakukan kajian temubual dan hasil tersebut telah dibentangkan kepada saya mengenai program jangka pendek. 

“Contohnya, sebilangan atlet memerlukan perhatian lebih khusus oleh Institut Sukan Negara (ISN) bagi memaksimumkan keupayaan mereka selepas ketiadaan kejohanan-kejohanan antarabangsa.

“Kami juga akan menghantar atlet ke mana-mana kejuaraan untuk memastikan mereka berada dalam keadaan kompetitif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran ISN Inspire di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

Reezal turut mengakui pihaknya turut merangka pelan jangka panjang, namun akan mengumumkan perkara itu tidak lama lagi.

“Kami ada kajian untuk melihat visi sukan negara secara menyeluruh. Kami bukan sahaja merancang mengenai persiapan ke Olimpik Tokyo 2020 tetapi dua sukan yang akan datang termasuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti.

“Saya tidak kata Program Podium ini gagal dan ketika ini kami mahu tambah baik. Sebab itu kita wujudkan Jawatankuasa Penambahbaikan Program Podium,” katanya. – K! ONLINE

The post Program Podium akan ditambahbaik – Reezal appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *