PRG, Maybank Islamic tawar pembiayaan HouzKEY

KUALA LUMPUR – PRG Holdings Bhd. (PRG) mengumumkan kerjasama dengan Maybank Islamic untuk menawarkan pembiayaan HouzKEY bagi pembelian kediaman di Embayu @ Damansara West.
Menerusi kerjasama tersebut, bakal pembeli Embayu hanya perlu membayar deposit selama tiga bulan yang boleh dikembalikan tanpa sebarang bayaran lain sehingga hartanah tersebut siap dibina.
Pembiayaan 100 peratus yang disediakan juga membolehkan pembeli rumah kali pertama atau kali kedua memiliki kediaman yang diingini tanpa perlu risau akan kos permulaan yang tinggi.
Pengarah Urusan Harta Tanah Maybank, Sally Lye berkata, HouzKEY diperkenalkan sebagai penyelesaian pinjaman perumahan untuk membantu mengurangkan beban pembeli dengan menyediakan pembiayaan 100 peratus dan bayaran bulanan lebih rendah pada peringkat permulaan.
“Kami percaya kerjasama dengan PRG ini akan membantu ramai rakyat Malaysia memiliki rumah idaman mereka,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan secara bersama di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan Hartanah dan Pembinaan PRG, Datuk Alex Wee Cheng Kwan menjelaskan, pembinaan kediaman mampu milik dengan kemasan berkualiti adalah hala tuju syarikatnya menuju ke hadapan.
“Kami sedar keperluan pelanggan yang menginginkan lebih fleksibiliti serta aliran tunai yang efisien dan kerjasama ini menawarkan penyelesaian kewangan inventif bagi membantu pencari rumah mengatasi masalah mereka dan beroleh peluang untuk menjadi pemilik Embayu,” katanya.
Embayu @ Damansara West, terletak bersebelahan perbandaran Kota Damansara dan Ara Damansara merupakan kondominium bertemakan resort yang dibangunkan di kawasan seluas 2.6 hektar, terdiri daripada 650 unit kediaman pada harga bermula RM450,000.

The post PRG, Maybank Islamic tawar pembiayaan HouzKEY appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *