Potong elektrik tiga premis judi

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Tiga premis di Tanjung Rambutan, Menglembu dan Pasir Pinji di sini dipotong bekalan elektrik kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian tanpa lesen pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abd. Aziz berkata, pemotongan elektrik itu dibuat oleh kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam operasi bersepadu bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Menurut beliau, operasi itu melibatkan seramai tiga pegawai dan 10 anggota polis bersama tiga kakitangan TNB.

“Premis yang terlibat masih berpenghuni dan mereka telah dimaklumkan sebab-sebab tindakan serta mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan.

“Kesemua premis sudah diambil tindakan dalam serbuan yang dijalankan sebelum ini yang mana siasatan sudah dijalankan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemotongan bekalan elektrik yang dilakukan ini adalah mengikut peruntukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mengikut peruntukan ini polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan elektrik jika mempunyai alasan yang munasabah premis itu menjalankan sebarang aktviti perjudian. – K! ONLINE

The post Potong elektrik tiga premis judi appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *