Polis tahan lima suspek peras ugut melalui media sosial

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelesaikan 12 kes pemerasan melalui media sosial melalui penahanan lima orang suspek Geng Kenny pada Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki pada 31 Julai lalu yang diugut suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, suspek mengugut untuk menyebarkan video separuh bogel milik mangsa kepada rakan-rakannya.

“Oleh kerana takut dengan ugutan tersebut, pengadu telah memindah wang sebanyak RM7,000 ke akaun milik suspek yang kemudiannya meminta tambahan RM3,000 jika pengadu mahu video itu dipadamkan.

“Kes itu disiasat dibawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sini hari ini.

Saiful Azly berkata, semakan lanjut mendapati terdapat 12 laporan berkaitan dengan modus operandi sama melibatkan kerugian berjumlah RM16,800.

Menurut beliau, sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah membuat serbuan di Taman Indah Perdana dan telah berjaya menahan tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia lingkungan 22 hingga 30 tahun.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua komputer, komputer riba (4), telefon bimbit (6) serta 14 keping kad ATM pelbagai bank.

Beliau memberitahu, hasil siasatan mendapati kumpulan itu mewujudkan profail palsu menggunakan aplikasi media sosial seperti Tantan, Syu Yue, Shiaomei, Singol, Tam Tam, Fast Dating dan Go2datenight.

“Perancang akan menggunakan rakan sejenayah wanita untuk melayan panggilan dan WeChat dari mangsa serta membuat panggilan video dengan mangsa.

“Wanita ini akan menarik perhatian mangsa dengan cara percakapan berunsur lucah serta menunjukkan badan separuh bogel. Suspek juga akan memaksa mangsa berbogel di dalam panggilan video itu dan tanpa disedari, suspek akan merakam pemanggil video itu,” katanya.

Saiful Azly berkata, selepas selesai panggilan video, perancang utama akan menghantar satu mesej ugutan kepada setiap mangsa melalui WhatsApp.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan bahawa gambar bogel mereka akan diedarkan dalam laman sosial dan mereka perlu membayar tunai RM10,000 bagi setiap panggilan video yang berjaya dibuat.

“Perancang utama telah menyediakan satu akaun bank milik rakan jenayah untuk dimasukkan oleh mangsa. Mereka yang trauma akan memasukkan wang ke dalam akaun disediakan suspek,” katanya.

Beliau berkata, tiga orang suspek telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 manakala dua suspek telah dijamin polis.

“Tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) turut diambil terhadap suspek-suspek yang terlibat dalam kes ini.

“Antara tindakan telah dilakukan adalah membekukan empat akaun bank dengan jumlah simpanan RM486,680.16, profiling ke atas suspek terlibat dan pengesanan aset-aset suspek,” katanya. – K! ONLINE

The post Polis tahan lima suspek peras ugut melalui media sosial appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *