Polis serbu dua pusat judi online di Penampang

Oleh IVAN AMIRUL

PENAMPANG – Seramai lima individu termasuk pasangan suami isteri berusia antara 24 hingga 37 tahun ditahan dalam serbuan membabitkan dua pusat operasi perjudian berbeza di kondominium serta apartment terletak di Beverly Hill semalam.

Sindiket perjudian atas talian ‘Calling Centre’ diserbu kira-kira pukul 6 petang oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan perjudian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, siasatan mendapati kumpulan sindiket itu menyediakan pusat operasi perjudian atas talian dengan memilih kondominium bagi mengelakkan kegiatan haram mereka dikesan pihak berkuasa.

“Ketika serbuan, ahli sindiket terbabit sedang mengatur perjudian atas talian bernilai RM3,815.

“Polis turut merampas beberapa set komputer, komputer riba, 13 telefon bimbit dan perkakasan yang digunakan untuk operasi perjudian,” katanya ketika sidang akhbar hari ini.

Mohd. Haris berkata, sindiket berkenaan dipercayai memperoleh purata keuntungan sebanyak RM5,000 sehari dan purata bulanan mencecah RM150,000 selain dipercayai sudah beroperasi selama lima bulan dengan purata keuntungan RM750,000.

“Seorang lelaki yang bekerja sebagai pengusaha kolam udang dipercayai menjadi ketua sindiket ini manakala empat yang lain sebagai pekerja dengan kadar gaji RM1,200 sebulan.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE

The post Polis serbu dua pusat judi online di Penampang appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *