Polis pastikan penduduk tidak bolos 

Oleh OTHMAN YAHAYA

SUNGAI PETANI – Polis akan memastikan tiada penduduk dari Zon Mawar, Melor dan Kenanga di Ambangan Heights, Amanjaya di sini meloloskan diri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) yang bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengambil pendekatan tegas tetapi berhemah ketika bertugas.

“Kita akan mengguna pakai semua prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di empat sekatan jalan raya (SJR) di samping menutup 11 lorong tikus untuk memastikan penduduk di tiga zon itu mematuhi arahan kuarantin di rumah.

“Walaupun tiada tempoh pelaksanaan ditetapkan kerajaan, kita akan bertugas selama mana yang diarahkan demi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Adzli ditemui ketika meninjau kerja-kerja penutupan laluan di beberapa lokasi di tiga zon berkenaan malam tadi dalam usaha melaksanakan sepenuhnya PKPD di kawasan tersebut.

Menurut Adzli, seramai 26 pegawai dan 93 anggotanya yang akan dibantu oleh ATM akan mengawasi kawasan seluas 2.85 kilometer persegi berkenaan.

Tambahnya, selain penggunaan batu konkrit untuk menutup laluan keluar masuk di SJR dan laluan tikus, kawad berduri juga akan dipasang sebagai langkah tambahan bagi mengelakkan penduduk bolos.

Beliau turut meminta penduduk tiga zon yang dikenakan sekatan di bawah PKPD Temco supaya mematuhi arahan pihak berkuasa.- K! ONLINE

The post Polis pastikan penduduk tidak bolos  appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *