PKR cabar Muhyiddin buktikan status PN

KUALA LUMPUR- Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung status pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, ia susulan kenyataan Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Syed Badlishah Syed Osman berhubung ketiadaan maklumat pendaftaran Perikatan Nasional dalam rekod di laman web Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Sehubungan itu, saya mencabar Muhyiddin untuk menunjukkan bukti kelulusan pendaftaran Perikatan Nasional yang dikeluarkan secara rasmi oleh ROS kepada umum.

“Seandainya Perikatan Nasional masih belum didaftarkan secara rasmi, saya mendesak agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan semua calon-calon yang bertanding di bawah tiket PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, sekiranya calon-calon yang mewakili sebuah pertubuhan haram dibenarkan untuk bertanding, ia akan menjadi penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan juga buat rakyat khususnya warga Sabah.

“Pilihan raya adalah platform penting buat rakyat untuk menggunakan hak mereka sebagai warganegara.

“Mereka berhak untuk memilih calon dari parti yang sah di sisi undang-undang untuk menjadi wakil seterusnya membentuk kerajaan negeri,” ujarnya.  -K! ONLINE

The post PKR cabar Muhyiddin buktikan status PN appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *