Pihak pendakwaan mohon kes Hasanah dijalankan secara tertutup

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, yang menghadapi pertuduhan pecah amanah memohon agar perbicaraan kes itu didengar secara tertutup.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad pada pengurusan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh di Mahkamah Tinggi hari ini.

“Setakat ini pihak pendakwaan telah menyerahkan 22 dokumen tambahan kepada pembelaan dan saya ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan akan mengemukakan permohonan supaya pendengaran kes ini secara tertutup (in-camera).

“Pihak kami akan memfailkan permohonan ini secepat mungkin dan memohon supaya tarikh bicara pada 5 sehingga 22 Oktober ini dikekalkan,” katanya.

Sementara itu peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Hasanah mengesahkan perkara itu dan memohon sedikit masa untuk menyediakan afidivit balasan serta meneliti permohonan tersebut.

Ahmad Shahrir kemudian menetapkan 5 Oktober ini untuk pendengaran permohonan tersebut dan pada masa sama pihak-pihak perlu memfailkan hujahan pada atau sebelum 30 September ini.

Sejurus tamat prosiding Muhamad Iskandar ketika ditemui berkata pihaknya memohon perbicaraan didengar secara tertutup bagi keterangan 15 saksi atas alasan melibatkan isu-isu kepentingan dan keselamatan negara.

Pada 25 Oktober 2018 Hasanah, 61, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah wang bernilai RM50.4 juta April lalu.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri didalam kapasiti tersebut yang diamanahkan wang berjumlah AS12.1 juta (RM50. 4 juta) milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah terhadap wang itu.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Berikutan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. -K!ONLINE

The post Pihak pendakwaan mohon kes Hasanah dijalankan secara tertutup appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *