Petron rugi RM69 juta akibat Covid-19

KUALA LUMPUR – Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd. (PMRMB) mencatat prestasi lebih baik dan berjaya mengurangkan rugi bersih kepada RM69 juta pada suku kedua 2020, berbanding kerugian RM84 juta pada suku pertama.

Ia hasil langkah rasionalisasi kos yang membawa kepada penurunan perbelanjaan operasi sebanyak 21 peratus atau penjimatan sebanyak RM14 juta, digabungkan dengan pemulihan jualan dan harga minyak pada Jun.

Bagi suku kedua 2020, PMRMB merekodkan jumlah jualan sebanyak enam juta tong, jauh lebih rendah berbanding 9.2 juta tong dalam tempoh sama tahun lalu ekoran permintaan berkurang disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Lebihan bekalan dan permintaan rendah mengakibatkan minyak mentah Dated Brent jatuh ke paras terendah pada AS$19 (RM79.23) setong pada April, sebelum pulih sedikit pada Mei dan Jun pada harga purata AS$29 (RM120.93) setong ketika negara pengeluar minyak utama sepakat mengurangkan pengeluaran.

PMRMB mengakhiri suku kedua dengan hasil RM1 bilion berbanding RM3 bilion pada 2019 dan disebabkan kerugian inventori, syarikat mencatatkan kerugian kasar sebanyak RM68 juta berbanding keuntungan kasar RM134 juta tahun lalu. 

Pengerusi PMRMB Ramon S. Ang berkata, pihaknya melihat sedikit peningkatan dalam prestasinya bermula Jun ekoran pelonggaran PKP. 

“Kami berjaya mengembalikan syarikat ke paras keuntungan pada Jun setelah melalui separuh tahun pertama 2020 yang mencabar dan akan terus fokus membantu syarikat pulih daripada kesan ekonomi Covid-19 serta menyusun semula strategi untuk mengukuhkan kedudukan pasaran. 

“Meskipun persekitaran mencabar, kami akan terus berkhidmat kepada pelanggan serta melindungi keselamatan pekerja dan komuniti kami dan pada masa sama, mencari peluang untuk menyumbang kepada barisan hadapan dan individu yang kurang bernasib baik dalam keadaan sukar ini,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini.

 

The post Petron rugi RM69 juta akibat Covid-19 appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *