Pesara maut motosikal rempuh Perodua Axia

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

JASIN – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi merempuh sebuah kereta di Jalan Lipat Kajang – Jasin di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, mangsa, Mokhtar Johari, 56, yang juga pesara pemandu di Maktab Rendah Sains Mara Jasin meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXS dalam perjalanan dari arah Jasin menghala ke Lipat Kajang.

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa gagal mengelak sebuah kereta jenis Perodua Axia yang keluar dari simpang rumahnya menuju ke Jasin.

“Mangsa melanggar bahagian sisi kanan kereta tersebut menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala serta badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan di tempat kejadian juga mendapati jalan di lokasi tersebut adalah lurus dan baru diturap selain permukaan tidak basah.

Hasan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  – K! ONLINE

The post Pesara maut motosikal rempuh Perodua Axia appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *