Pesanan suara 63 kes positif Covid-19 palsu

Oleh NUR SYAZWANA MANSOR

YAN – Polis menafikan maklumat kononnya sudah terdapat 63 kes positif Covid-19 di daerah ini seperti yang tular di aplikasi WhatsApp sejak beberapa jam lalu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji mengesahkan maklumat yang disampaikan menerusi pesanan suara itu adalah palsu.

“Semua maklumat berkaitan statistik Covid-19 diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, kluster baharu di Yan iaitu Kluster Sala setakat ini merekodkan empat kes jangkitan.

“Itu yang dimaklumkan pihak KKM, bukan 63 orang seperti yang ditularkan,” ujarnya.

Tambahnya, pihak polis dan agensi keselamatan lain akan terus mempertingkatkan pemantauan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi.

“Orang ramai diminta supaya tidak menyebarkan berita palsu yang mana statistik sebenar akan dikemas kini oleh KKM setiap hari,” jelasnya.

Beberapa jam lalu tular satu pesanan suara seorang lelaki di aplikasi WhatsApp kononnya jumlah kes positif di Yan meningkat kepada 63 kes.

Pesanan suara itu antara lain mendakwa statistik itu diperoleh daripada seorang rakannya yang bertugas di IPD selepas hadir satu mesyuarat.- K! ONLINE

The post Pesanan suara 63 kes positif Covid-19 palsu appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *