Pesakit lari dari wad kuarantin ditahan

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

ALOR SETAR – Seorang pesakit yang sedang dikuarantin di Hospital Lama Alor Setar menimbulkan kekecohan apabila cuba melarikan diri sebelum ditahan polis berdekatan Wisma Darul Aman di sini pagi tadi.

Sumber memaklumkan kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.15 pagi dengan pengawal keselamatan di hospital berkenaan kemudiannya bertindak menghubungi polis.

“Bertindak atas maklumat, anggota polis bersama pengawal keselamatan kemudiannya mengejar pesakit tersebut dan berjaya mengepungnya di kawasan taman berhampiran Wisma Darul Aman.

“Lelaki itu kemudian dibawa pulang ke hospital berkenaan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang lengkap mengenakan pakaian pelindungan diri (PPE),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd Noor memaklumkan, siasatan awal mendapati lelaki berusia 38 tahun itu merupakan pesakit di wad psikiatri hospital berkenaan.

Katanya, lelaki tersebut pada awalnya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana perlu dibedah akibat apendiks.

“Dia seterusnya dibawa menjalani saringan Covid-19 kerana terdapat pesakit di wad sama didapati positif Covid-19.

“Saringan awal mendapati pesakit itu negatif namun dia tetap dikuarantin bermula 31 Ogos hingga 12 September depan,” katanya.

Difahamkan lelaki tersebut pernah cuba lari dari wad psikiatri termasuk dengan cara yang agak agresif sebelum ini.

Kata beliau, pihaknya dimaklumkan pesakit itu juga cuba melarikan diri semalam namun dapat dikesan oleh anggota balai bergerak dan pengawal keselamatan di penjuru pagar hospital tersebut.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan yang tular di media sosial menyatakan lelaki tu memakai gelang merah jambu ketika melarikan diri.-K! ONLINE

The post Pesakit lari dari wad kuarantin ditahan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *